Jurusan Motivasi merupakan satu program mental diri yang berkaitan dengan cara kita menjalankan kehidupan seharian. Maksudnya, mendorong diri mengerjakan sesuatu dalam kehidupan kita.
Mungkin anda bertanya, apakah yang akan terjadi jikalau seseorang mempunyai daya dorongan pada satu jurusan sahaja, dan ia menggunakan jurusan itu seterusnya sampai akhir hayatnya? Oh tidak. Pada hakikat biologi dan jasmaniah, setiap orang tentu sekali mempunyai daya kedua-dua jurusan motivasi ini, baik dari pola ‘Motivasi Menjauhi Daripada’ , mahupun pola ‘Motivasi Menuju Kepada’. Sebagai contoh, tentu sekali kita pernah mengalami satu keadaan sama ada kita terpaksa atau tidak, menjauhi diri kita menghadapi sesuatu yang mengakibatkan keburukan, kesakitan, keperitan, kepayahan, ketidakselesaan, dan stres dalam hidup kita; dan sudah pasti juga kita pernah bertindak dengan menghalakan diri kita ke arah perkara-perkara yang amat menyenangkan, selesa, seronok dan sebagainya. Tentu sekali bukan?
Sebagai satu contoh, cuba lihat kes ini;
- Ahmad menjauhkan dirinya daripada terbabit dalam kemalangan jalan raya, dengan cara dia memandu keretanya dengan lebih cermat sambil mematuhi undang-undang jalan raya.
- Dalam keadaan yang lain, Ali menghalakan dirinya bekerja dengan tekun dan bijak agar dapat meraih gred A dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan peringkat O. Pencapaian gred A yang diperolehinya akan membawa dirinya ke satu kejayaan yang cukup memuaskan.
Kalau kita pandang secara umum, kedua-dua cara memotivasikan diri ini amat berbeza sekali. Dan kita juga harus mengakui bahwa kedua-duanya amatlah berguna dalam keadaan yang tertentu. Memanglah tidak dapat dinafikan bahawa apabila kita berada di tempat atau dalam keadaan yang berbahaya, ataupun dalam suasana yang melukakan dan menganiayakan diri, hatta dalam kongkongan pemikiran negatif kita; sebagai contoh, akan membuat kita bertindak dengan menjauhkan diri kita daripadanya. Sebaliknya, apabila kita memandangkan wajah kita ke arah suasana yang indah, rakan-rakan yang baik yang memberi kita sokongan yang padu, dan pemikiran positif yang sentiasa bermain di otak kita (sebagai satu lagi contoh), akan mendorong diri kita untuk menuju ke arahnya. Benarkah? Tentu sekali!
Setiap orang menggunakan kedua-dua motivasi ini dalam kadar yang tertentu. Yang anehnya, terdapat satu kajian yang menunjukkan bahawa setiap orang didapati hanya lebih cenderung kepada salah satu jurusan motivasi itu. Cara seseorang memproses sebuah pengalaman dalam konteks kecenderungan diperhatikan seperti ada suatu unsur penapisan perseptual yang terjadi dalam diri orang itu. Dalam NLP, inilah yang dinamakan Meta-Program atau Program-Meta - satu tabiat diri yang telah menjadi otomatik apabila ia bertindak dalam tubuh badan seseorang secara neurologi. Tabiat ini mula disedari apabila seseorang melakukan sesuatu perkara berulang-ulang, sehingga kelakuannya itu menjadi sebati dengan dirinya; maka timbullah kesedaran, “Inilah saya! Inilah diri saya!” seperti yang disebutkan dalam pepatah Melayu, alah bisa tegal biasa. Ya, pelik juga apabila difikirkan yang seseorang itu didapati lebih cenderung menggunakan jurusan ‘Motivasi Menuju Kepada’ atau ‘Motivasi Menjauhi Daripada’ dalam kehidupan hariannya. Perhatikanlah!
Perbezaan Tabiat Menurut Jurusan Motivasi
Penyelidikan Neurosemantik dan NLP telah membuktikan bahawa secara umum, manusia amat cenderung menggunakan program mental yang sama untuk memotivasikan diri, walau dalam apa pun situasi atau keadaan. Ini bermakna, sekiranya seseorang menggunakan ‘Motivasi Menuju Kepada’ dalam salah satu keadaan, nampaknya dia juga akan cenderung untuk menggunakan jurusan motivasi yang sama dalam keadaan yang lain.
Sebagai contoh, pada lazimnya seseorang merasa amat sukar untuk bangun awal pagi untuk ke pejabat. Tetapi apabila ia terbayang imej-mental majikannya yang sedang menengking dirinya sambil mengancam untuk memecat dirinya daripada kerja, dia akan secara otomatik melompat terus, lalu bangun dengan pantas dan bersiap untuk ke pejabat. Kadang-kadang sampai tidak sempat mandi. Orang seperti ini menggunakan ‘Motivasi Menjauhi Daripada ’ kerana akibat kesan negatif yang akan menimpanya sekiranya bossnya memecatnya. Dari pandangan lain, dia juga menggunakan jurusan motivasi ini untuk menjauhi dirinya dari keselesaan (yakni, tidur nyenyak).
Berkata tentang kerjaya, siapakah di antara pekerja yang mudah menukar pekerjaan? Kita boleh memerhatikan program-meta motivasi ini untuk mendapatkan satu petanda. Berbalik pada kes tadi, orang seperti ini yang ber-‘Motivasikan Menjauhi Daripada,’ mungkin tidak mudah menukar kerjayanya, kecuali dia berasa benar-benar tidak sanggup untuk bekerja di situ (mungkin dengan sebab-sebab lain. Dia sering mengambil tindakan untuk menjauhi daripada apa yang tidak diingininya, disini, yang tidak diingininya adalah keadaan ‘kalau dia dipecat’). Dia senantiasa berjaga-jaga untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Sebaliknya, seseorang yang bangun dari tidurnya dengan penuh ghairah (bertindak dengan penuh semangat) untuk mencapai impiannya dengan satu target, satu pencapaian, satu misi, satu visi, sambil bertanya kepada dirinya sendiri,
”Apakah yang boleh saya lakukan pada hari ini? Peluang apakah yang dapat saya kecapi pada hari ini agar saya dapat mendekatkan diri saya pada matlamat atau impian hidup saya sama ada dalam kerjaya saya atau yang lain?”
Orang yang ber-‘Motivasi Menuju Kepada’, biasanya akan mencari jalan untuk menukar kerjayanya (atau projek nya, bahagiannya, dan skop kerjanya) dengan mengarah-tuju kan dirinya pada satu peluang yang lebih besar daripada apa yang dinikmati sekarang. Mungkin motivasinya itu untuk menuju kepada cabaran-cabaran baru yang lebih besar yang mahu diceburinya dan yang mahu diterokainya. Pandangan orang seperti ini, otaknya senantiasa bermain dan tertumpu hanya kepada peluang kejayaan.
Orang yang bersikapkan ‘Motivasi Menuju Kepada’, biasanya mendorong dirinya, sambil berkata,
”Aku pasti ada cara yang lebih baik untuk melakukan perkara ini (mungkin untuk menyara hidup aku sekarang ini). Jadi, aku mesti bayangkan matlamat atau ’goal’ aku, lalu aku akan tujukan diriku ke arahnya.”
Itulah kata-kata orang yang hala tujunya ke hadapan. Untuk apa? Ya, untuk mencapai impiannya, atau matlamatnya. Dia tidak perlu menoleh ke belakang untuk mencari sebab dia menuju ke hadapan. Tidak perlu. Secara biasa, dia hanya memandang dirinya ke hadapan, arah impiannya terpapar. Biasanya, masyarakat kita menghargai sikap seperti ini dan dipandang sebagai sesuatu yang sungguh positif.
Sikap Orang Yang Hebat Menurut Kiyosaki
Kiyosaki adalah seorang penulis buku Retired Young Retired Rich. Dalam penyelidikan beliau, beliau mendapati betapa peliknya sikap sebahagian besar orang yang maju dan kaya, apabila ditanya apakah yang harus mereka lakukan sekiranya perniagaan mereka tumpas dan menjadikan mereka seorang muflis. Mereka menjawab, ”Perkara itu tidak terlintas pun dalam fikiran kami.” Lihat bagaimana jurusan ‘Motivasi Menuju Kepada’ memainkan peranan dalam minda orang-orang yang hebat dan maju dalam perniagaan.
Cuba kita lihat dalam satu keadaan yang berlainan. Sekiranya anda seorang peniaga yang maju, mungkin salah satu perkara yang menjadikan anda maju adalah terkenangkan keadaan keluarga anda yang pada masa dahulu sangat miskin (makan minum terhad, pakaian sehelai sepinggang, berkaki ayam ke sana ke mari, tiada kenderaan, dll.) Apabila anda mengenang masa-masa yang susah seumpama ini, betapa peritnya anda merasai, anda merasakan bahawa keadaan itu dapat memerangsangkan dan menggerakkan diri anda untuk berusaha lebih giat untuk memperbaiki kualiti kehidupan anda, maka ketika itu anda sebenarnya telah menggunakan jurusan ‘Motivasi Menjauhi Daripada’ secara produktif dan wajar.
Ini pula contoh bagaimana peranan minda ‘Motivasi Menjauhi Daripada’ bertindak dengan cara bijak (resourceful) ?
Kebaikan jurusan ‘Motivasi Menuju Kepada’ lebih jelas daripada ‘Motivasi Menjauhi Daripada’. Orang yang ‘Menuju Kepada’ matlamatnya biasanya merupakan orang yang paling dihargai dalam masyarakat.
Apakah perbezaan orang yang menggunakan kedua-dua jurusan motivasi ini? Apakah kebaikan yang dapat kita cungkil daripada orang seperti ini? Kita mendapati bahawa orang yang berorientasikan ‘Motivasi Menuju Kepada’ lebih berorientasikan matlamat (goal-oriented). Manakala ‘Motivasi Menjauhi Daripada’ merupakan orang yang lebih peka untuk mengenal pasti dan menghuraikan sesuatu masalah (problem-solvers).
Kedua-dua gaya motivasi ini mempunyai kebaikan dan kekurangannya sendiri.
Walau bagaimanapun, persoalannya ialah apakah akibatnya kalau seseorang mengamalkan gaya ’Motivasi Menjauhi Daripada’ berlebihan (extreme).
Dalam ‘Motivasi Menjauhi Daripada’, terdapat tiga perkara atau akibat yang harus kita perhatikan agar kita dapat mengawal diri kita dengan baik;
(1) Motivasi seseorang akan berkurangan apabila cabaran diri yang dialaminya semakin berkurangan. Ia akan terus berkurangan sehinggalah masalah atau cabaran itu timbul atau bertambah kembali. Oleh itu, ia diumpamakan seperti putaran roda, sekejap naik dan sekejap turun, kadang kala tidak bergerak dan kemudian naik kembali. Maka, dalam hal ini bolehlah dikatakan bahawa jurusan ‘Motivasi Menjauhi Daripada’ mempunyai keadaan pasang surut, atau turun naik menurut cabaran mahupun ancaman diri.
(2) Orang yang menjauhi keadaan kesusahan, kesakitan, kepayahan dan stres seumpama ini, tidak memberatkan pandangan arah mana yang mereka mahu tujui apabila program-meta dirinya menjadi terlalu kuat. Tumpuan mereka akan tetap tertumpu kepada perkara-perkara yang mereka tidak mahukan, hinggakan ia tidak dapat memandang ke jalan yang senang, jalan menuju kegirangan (sebagai contoh). Setentunya, orang seperti ini akan keluar daripada satu masalah kepada masalah lain. Mungkin juga dia keluar dari satu masalah yang kecil kepada masalah yang besar. Bak kata orang tua-tua, keluar dari mulut buaya masuk ke mulut harimau (out of the frying pan into the fire).
(3) Kalau mereka membiarkan tahap stres dan kebimbangan atau kecemasan (anxiety) mereka meningkat tinggi tanpa terkawal, itu pasti akan menjejas keadaan kesihatan mereka dan secara langsung menjejas prestasi mereka.
Mengenal Pasti dan Menggunakan Jurusan Motivasi Dalam Perhubungan Berkomunikasi (satu contoh)
Kata-kata yang digunakan oleh sebahagian orang juga boleh memberikan kita isyarat untuk mengetahui jurusan motivasi manakah yang seseorang itu gunakan dalam perhubungannya dengan rakan sekerja dan masyarakat umum.
Cuba perhati dan bandingkan kenyataan yang dikatakan oleh seorang pengurus bernama Ahmad (nama samaran) kepada pekerjanya dalam dialog berikut;
(1) Masa sekarang ini, mari kita selesaikan projek ini tepat pada masanya dan di bawah paras bajet yang ada. Dengan itu, janganlah jadi pemerhati saja, dan jangan membuat penukaran dan perubahan dalam minit-minit terakhir, ok?
(2) Sekarang ini, jangan jadi pemerhati saja, dan jangan membuat penukaran dan perubahan dalam minit-minit terakhir. Mari kita selesaikan projek ini tepat pada masanya dan di bawah paras bajet yang ada. Ok?
Dalam contoh pertama (1), kenyataannya bermula dengan frasa ‘Motivasi Menuju Kepada’, dan diikuti dengan ‘Motivasi Menjauhi Daripada’. Manakala contoh kedua (2) pula, kenyataannya bermula dengan frasa ‘Motivasi Menjauhi Daripada’, diikuti dengan ‘Motivasi Menuju Kepada’.
Lihat contoh-contoh susunan ayat ini dan perhatikan baik-baik kesan pada pemikiran dan gerak diri kita terhadapnya. Apabila sepotong kenyataan itu diakhiri dengan sesuatu yang lebih positif dan lebih bermotivasikan Menuju Kepada, tenaga (atau energy) seseorang itu lebih cenderung dimanifestasikan keluar daripada diri seseorang itu. Ini terdapat pada ayat terakhir yang telah diberikannya tadi.
Jadi, seperti dipersetujui oleh ramai orang, kenyataan contoh kedua (2) lebih menarik dan lebih positif kalau dibandingkan dengan yang pertama (1). Ayat ‘Jangan jadi pemerhati saja, dan jangan buat penukaran dan perubahan dalam minit-minit terakhir’ merupakan ayat peniadaan atau penafian (dalam bahasa Inggerisnya negations). Otak manusia tidak memproses yang negatif, malahan ia memproses perkataan yang lain daripada apa yang ditujukan itu. Lihat contoh ayat ini;
(1) ‘Jangan jadi pemerhati saja’
Jikalau ayat ini diproses menjadi:
(2) ‘…jadi pemerhati saja’
Kalau itulah yang didengari oleh pekerja-pekerja saudara Ahmad, maka kesan ayat kedua (2) itu kurang memuaskan (malah memburukkan). Sungguhpun begitu, sekiranya kata-kata Ahmad itu diakhiri dengan ‘Mari kita selesaikan projek ini tepat pada masanya dan di bawah paras bajet yang ada. Ok?’ Ini akan menjuruskan pemikiran kita ke arah yang lebih positif dan lebih diingati oleh pekerja Ahmad. Kesan perbualan atau kenyataan itu tadi sudah tentu memberi kesan yang hebat.
Tip Bagi Ibubapa
Satu Pandangan Penggunaan Program-Meta ’Menuju Kepada’ dan ’Menjauhi Daripada’ Bagi Ibubapa
Apakah anak-anak anda bermotivasikan diri mereka dengan dorongan diri pada pencapaian yang diinginkan, diidamkan dan pada matlamat pencapaiannya (gol), atau mereka lebih terdorong pada isu-isu dan masaalah-masaalah yang hendak dihuraikannya, diselesaikannya atau dihindarkannya?
Motivasi Menuju Kepada: Mereka yang menggunakan gaya motivasi ‘Menuju Kepada’ ini berfokuskan pada pencapaian atau gol-gol mereka. Biasanya sesuatu gol itu jelas kelihatan dalam pandangan mereka. Dorongan mereka itu adalah pada apa yang akan diperolehi dan dicapaikannya. Sungguhpun mereka ini didapati cekap dalam menguruskan keutamaan-keutamaan yang perlu untuk membuat sesuatu perkara, kadangkala mereka tidak dapat mengenalpasti apa yang harus dihindari. Mereka juga tidak dapat mengenalpasti masaalah yang mungkin membuat mereka terjerumus kedalamnya, kalau mereka teruskan dengan rancangan mereka itu.
Anda juga boleh perhatikan kata-kata yang lazim mereka sebutkan; seperti capai, dapat, raih, dan ganjaran. Mereka juga sering keluarkan kata-kata mengenai pencapaian matlamat, gol, cita-cita, keputusan dan hasil sesuatu tindakan itu. Untuk memotivasikan atau mempengaruhi orang seperti ini, gunakan perkataan atau kata-kata yang mereka gunakan dalam konteks pencapaian sesuatu matlamat, pencapaian sesuatu gol atau hasil yang akan diterimanya.
Orang seperti ini tidak pula mencari-cari kesilapan atau kesalahan sesuatu itu secara sedar dan sengaja. Kalau anak anda mempunyai gaya motivasi ‘Menuju Kepada’, anda mungkin dapati bahwa kerja sekolahnya mungkin terdapat kesilapan-kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Ini disebabkan mereka terlalu fokus untuk menghabiskan kerja sekolahnya dengan segera supaya mereka boleh membuat perkara yang lain, perkara yang akan memberinya satu pencapaian yang diingini. Dalam keadaan ini, untuk mendorongkan perhatiannya pada kesilapan itu, anda mungkin perlu tunjukkan kepadanya bahwa tindakan yang anda hendak lakukan ini adalah satu langkah pertama untuk mendapatkan kejayaan dalam pencapaian yang diinginkan itu.
Sungguhpun dalam satu keadaan dimana anak-anak yang menggunakan gaya ‘Menuju Kepada’ boleh dapatkan bantuan dari ibubapa yang bergaya ’Menjauhi Daripada’, anak-anak ini didapati tidak suka pada tindakan ibubapanya lalu berusaha untuk menjauhi dirinya dari mereka. Sebab? Sebab mereka rasa bahwa ibubapa mereka itu selalu membingitkan mereka dengan memberitahu kesalahan mereka tiap kali ianya berlaku atau tiap kali ianya akan berlaku. Ini juga termasuk teguran keatas diri mereka supaya selesaikan masaalah yang terdapat itu sambil menyebut-nyebut akibatnya tanpa memberikan anak-anak itu peluang untuk menerangkan idea-idea mereka itu. Kenapa begitu? Sebab perkara-perkara tentang kesalahan, kesilapan, huraian masaalah bukanlah keinginan yang ditumpukan oleh anak-anak ini yang lebih terdorong dengan gaya ’Menuju Kepada’.
Ibubapa yang bergaya ’Menuju Kepada’ pula bertindak dengan keinginan untuk mencapai kejayaan, mendapatkan sesuatu matlamat, meraihkan satu pencapaian, dan mungkin juga tidak ada masa untuk meluangkan masanya pada anak-anak nya pula. Kadangkala oleh sebab keghairahannya untuk menggalakkan anak-anak mereka mencapai sesuatu matlamat itu seberapa daya yang difikirkan perlu, masa anak-anaknya menikmati zaman kanak-kanaknya untuk bermain dengan kawan-kawannya pun terabai dengan tidak disedari.
Motivasi Menjauhi Daripada: Mereka yang tergolong dalam kumpulan ini pula selalu memandang pada senario berlainan - negatif, kesalahan, kesilapan dan masaalah-masaalah didalam sesebuah situasi, sebagai contoh. Mereka perhatikan apa yang harus dibuang, dielakkan atau diperbaiki. Mereka biasanya terdorong membuat sesuatu apabila ada sesuatu perkara yang hendak dijauhi, masaalah yang mahu dihuraikan, ataupun sesuatu keadaan yang perlu diperbaiki. Dalam keadaan tertentu mereka juga peka dalam mencari kesilapan atau kesalahan, menghuraikan masaalah dan menunjukkan halangan-halangan yang mungkin timbul dan akibat-akibat yang boleh terjadi dengan sebab sesuatu tindakan yang diambil itu. Kadangkala, mereka ini dapat melihat dengan sekelip mata apa yang silap atau salah atau yang bermasaalah. Sungguhpun begitu, mereka masih boleh mendapatkan matlamat, tujuan, gol atau keutamaan mereka, akan tetapi apabila timbulnya sesuatu masaalah yang perlu dihuraikan atau dijauhi mereka akan ketepikan gol-golnya itu dan tumpukan perhatiannya pada masaalah yang hendak dihuraikan atau dielakkan itu. Orang seperti ini gemar menggunakan perkataan seperti; elakkan, jauhkan, halang, basmikan, hilangkan, huraikan, baikkan, jangan, dll. Anda juga boleh gunakan sebahagian dari kata-kata ini secara linguistik untuk memotivasikan mereka supaya mereka terus bertindak.
Dan tentu sekali anda boleh memotivasikan mereka yang bergaya ‘Menjauhi Daripada’ ini dengan menekankan bahwa dengan melakukan sesuatu untuk mencapaikan satu tujuan dan hasil yang diingininya itu akan menolong mereka mengelakkan atau menghuraikan satu akibat negatif yang difikirkan akan berlaku pada dirinya dan pada gol nya.
Kalau diri anda sendiri gunakan gaya motivasi ‘Menuju Kepada’ dan anak-anak anda pula cenderung pada gaya motivasi ‘Menjauhi Daripada’, mereka akan dapati kelakuan anda itu terlalu membosankan sebab anda mungkin gigih mendorongnya untuk mencapai sesuatu pencapaian, manakala keinginannya adalah menghuraikan masaalah yang difikirkannya itu. Dengan itu, pandangan mereka adalah seolah-olah anda tidak memberi mereka peluang langsung untuk melakukannya.
Sebaliknya, sekiranya anda cenderung bertindak dengan gaya motivasi ‘Menjauhi Daripada’ dan selalu memerhatikan apa yang tidak berjalan dengan baik, masaalah-masaalah yang timbul dan sebagainya, tindakan anda juga mungkin membosankan anak anda. Dan sekiranya ianya menjadi extreme, mungkin anak anda merasa kecewa lalu menyebut kata-kata seperti,” Peduli apa. Aku akan disalahkan juga samada aku buat ataupun tak buat.”
Kita semua miliki tabi’at-tabi’at tertentu. Ada yang baik bagi diri kita dan ada yang menghalang diri kita dari maju. Ada pula memberi kita akibat yang negatif.
Dr Roger Ellerton saorang Professor Universiti dan pelatih NLP dan coach mensyorkan dalam salah satu bukunya untuk menggunakan program-meta ini secara bijak. Ia berkata, ada baiknya motivasi ’Menjauhi Daripada’ digunakan untuk tindakan jangka-masa pendek dan motivasi ’Menuju Kepada’ digunakan bagi tindakan jangka-masa panjang. Kedua-dua harus digunakan untuk mendapatkan satu flexibility dalam menangani tabi’at anak-anak kita dan ahli keluarga yang lain.
Satu Tip NLP – Satu Latihan Diri
Bagaimanakah anda melayari minda anda apabila anda bercadang untuk mengerjakan sesuatu? Ambillah masa seminit atau lima minit, yang anda rasa mudah, untuk memikirkan perkara yang hendak anda lakukan. Sejurus selepas itu, tanyakan pada diri (dalaman) anda,
”Apakah yang akan aku perolehi daripada membuat perkara (atau tercapainya keinginan) ini? Apakah yang penting bagiku?”
Cuba diam sejenak, dan dengarkan jawapan anda itu. Adakah anda menjawab seperti,
”Apabila aku membuat dan mencapai perkara {....ini}, aku tentu sekali tidak dianggap sebagai seorang yang bodoh. Yang penting aku tak dipandang hina.” (Motivasi Menjauhi Daripada)
Atau jawapan anda seperti,
”Apabila aku mencapai {....ini} aku dapat melihat diriku duduk di peringkat tertinggi dalam kelasku. Bagi aku, apabila berada di hadapan perasaanku puas kerana aku tahu yang aku telah mengecap kejayaan yang tertinggi seperti yang aku idam-idamkan.” (Motivasi Menuju Kepada)
Kedua-dua jawapan ini mengisyaratkan perbezaan berfikir dan perbezaan tayangan minda (movie of the mind) anda. Selepas mendengar jawapan diri anda, perhatikanlah di mana letaknya jurusan motivasi anda - adakah jurusan Motivasi Menuju Kepada atau Motivasi Menjauhi Daripada?
Sekarang cuba jawab soalan berikut;
"Pola motivasi yang manakah yang anda lebih cenderung untuk mendorongkan pemikiran dan perasaan anda?"
Kalau anda telah menjawabnya, syabas!
Kepentingannya?
Sekiranya anda dapat mengenal pasti cara anak, murid atau pekerja (hatta masyarakat) anda berfikir dan apakah jurusan motivasinya, tentu sekali anda dapat menggunakan teknik perhubungan NLP ini untuk mengeluarkan kata-kata yang boleh menggerakkan dirinya itu.
- Kalau mereka berprogramkan ‘Motivasi Menuju Kepada’, gunakanlah perkataan-perkataan menuju kepada untuk memerangsangkan mereka agar terus bergerak mencapai matlamatnya.
- Sebaliknya, gunakanlah bahasa ‘Motivasi Menjauhi Daripada’ untuk mereka yang menonjolkan sifat atau sikap motivasi menjauhi daripada. Bagaimana, boleh anda cuba?
Dari Pola Motivasi ke Faktor Kepercayaan
Selain daripada melihat bagaimana diri seseorang bertindak terhadap sesuatu yang dilakukan sebagai satu cara Penepatan Minda (Mindset) dalam pengertian Neurolinguistik dan Neurosemantik. Pola motivasi merupakan salah satu bahan utama untuk memahami bagaimana seseorang atau sesebuah masyarakat bertindak atas keperluan masyarakat itu sendiri, hatta kepada keperluan negara. Biasanya, banyak saranan dibuat dengan memikirkan cara-cara untuk melaksanakan perubahan itu. Beribu-ribu ringgit telah dibajetkan dan dibelanjakan untuk mencapai matlamat ini, selain daripada masa dan tenaga. Sering juga kita mendengar bahawa sesuatu projek yang dilakukan itu tidak berdaya-tahan (sustainable) dan adakalanya pula tidak berhasil. Kenapa?
Dalam Neurosemantik dan NLP, ada satu lagi tahap yang penting dalam perubahan diri yang harus kita perhatikan. Tahap ini adalah salah satu tahap yang dinamakan tahap logik (Logical levels) atau tahap neurologik (Neurological Levels). Tahap logik yang dimaksudkan ialah tahap kepercayaan (belief). Ini adalah salah satu tahap yang amat hebat, yang boleh mengukuhkan diri kita untuk mencapai matlamat; sebaliknya, ia juga boleh menghambat segala usaha kita.
Amatlah mudah untuk mengetahui perkara ini. Sebagai contoh, berikanlah soalan-soalan seperti berikut (dalam bahasa Inggeris);
(1) What do you believe in doing this…in getting this?
(2) What do you believe in saving $13 per month on your electrical consumption by unplugging your electrical appliances when not in use?
(sila rujuk artikel ‘How to cut down on your electricity bills – oleh Sruti Lal, PSB Academy’)
(3) What is important about this?
(4) When you do the way you have done it, what do you really value in it?
(5) So when you value in that manner, what do you really believe in that?
Cara penyoalan seperti ini, biasanya dikitar hingga ke tahap yang mendalam (meninggi) untuk mengetahui apakah sebenarnya yang terkandung dalam kepercayaan diri seseorang. Soalan-soalan seperti ini boleh diberikan untuk kita sama-sama berfikir dalam sanubari kita sendiri? Adakah kepercayaan kita itu kental? Adakah dalam suasana, kemampuan dan keselesaan kita di Brunei ini, penjimatan $13 sebulan dalam penggunaan elektrik (sebagai contoh) menjadi sesuatu yang kita benar-benar percaya dan bernilai kepada diri kita? Adakah kepercayaan ini akan mendorong kita untuk menjimatkan penggunaan elektrik? Apakah kita terdorong oleh Motivasi Menjauhi Daripada? Apakah dorongan itu betul-betul kuat? Apakah yang penting bagi diri kita dalam menangani perkara penjimatan ini? Adakah kita percaya bahawa ini adalah tanggungjawab kita atau tanggungjawab orang lain, ataupun tanggungjawab kerajaan? Apakah sebenarnya sistem kepercayaan (belief systems) diri kita sebagai seorang individu yang menjadi satu komponen penting dalam sesebuah masyarakat, rakyat dan negara kita?
Banyak lagi soalan yang boleh diutarakan untuk mencungkil asas kepercayaan diri kita sendiri dengan apa yang hendak kita lakukan, dalam apa konteks pun. Ada sebahagian orang takut untuk menjelajah kepercayaan dirinya sendiri. Benar? Ya! Takut untuk mengetahui sesuatu yang benar? Ketakutan psikologikal?
Dan apabila kita dapat menghuraikan dan mengetahui dengan jelas, terang, bermakna, bernilai tentang sesuatu perkara atau masalah itu, maka dengan itulah dorongan atau motivasi untuk melaksanakan perkara yang diingini akan bergerak dengan gerak hati yang hebat. Insya-Allah. Apakah ini namanya Penepatan Minda (Mindsetting)? Tentu sekali, sebab ia merupakan elemen sebenar untuk seseorang bertindak agar perubahan itu terlaksana dan berpanjangan serta hebat dari dalaman, dari tahap neurologik dan justru itu pada minda kita.
Bagaimana Kegunaannya dalam Penjimatan Tenaga?
Pada 24hb Mei 2009 yang lalu, saya telah menghadiri majlis pelancaran Hari Tenaga 2009 yang telah dilancarkan oleh Yang Berhormat, Pehin Orang Kaya Seri Dewa Major General (R) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad bin Haji Daud, Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri pada masa itu. Temanya ialah Penjimatan Tenaga, Tanggungjawab Kita. Merubah Paradigma (Mindset) dalam Penggunaan Tenaga. Kita juga telah mendengar beberapa persembahan tentang topik-topik yang relevan dalam usaha untuk mencapai matlamat kita dalam satu majlis yang dinamakan ‘Energy Day Forum 2009’. Forum ini telah diadakan pada 26th Mei 2009 di Hotel Sheraton Utama di Bandar Seri Begawan. Kita telah mendengar beberapa pendapat dan saranan yang cukup baik dalam perbincangan itu. Mungkin kita juga telah membaca sebuah artikel ‘How to cut down on your electricity bills – oleh Sruti Lal, PSB Academy’ yang telah disebarkan melalui e-mel semasa itu. Salah satu perkara yang menarik perhatian saya ialah cebisan ‘To put things into perspective, if you left your applicances at home switched off but not unplugged, you are paying approximately SGD$13 per month for something you are not even using.’ Sebagai makluman ini adalah salah satu perkara yang telah dikenal pasti oleh penyelidikan yang telah dilakukan oleh beberapa buah organisasi serantau dan dunia. Usaha dan cara penjimatan seperti ini juga telah dipaparkan oleh salah seorang panelis perbincangan Energy Day Forum 2009, Pengiran Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (Department of Electrical Services), yang menggambarkan bagaimana cara menggunakan peti sejuk yang berkesan yang boleh menjimatkan tenaga secara berkesan bagi seluruh negara.
Jadi, berbalik pada pola motivasi diri dan sistem ‘belief’ atau sistem kepercayaan diri kita, apakah soalan-soalan yang resourceful yang boleh kita tawarkan pada diri kita, diri rakan-rakan kita, diri keluarga kita, diri masyarakat kita, rakan sepejabat, dan negara agar kita dapat memotivasikan diri kita, keluarga, masyarakat, pejabat dan negara ke satu tahap kecemerlangan?
Selamat mencuba dan selamat maju jaya.
M Nasser Ismail,ACMC