To Your Highest and Best. Transcend and Actualise In the Most Resourceful Way Your Heart Desires.
   
 
  Memperbaiki Komunikasi Dalam Keluarga Anda Bhg 3
 







NSNLP – SIRI PERKEMBANGAN KELUARGA BHG 3- KATA PENGHUBUNG DAN KESANNYA

 

 

MEMPERBAIKI KOMUNIKASI ANDA DALAM KELUARGA – BHG 3

Rangka Pemikiran dan Kata-Penghubung

 

M Nasser Ismail

Sept 2010

 

 

Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan.  Tolaklah/tangkislah dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan, seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.”

 

Surah Fushshilat Ayat 34

 

 

 

·             Apabila kita berkomunikasi dengan seorang itu, apakah kita berhubung berdasarkan dengan rangka pemikiran kita? Bolehkah kita mengesannya?

·             Apakah peranan foregrounding dan backgrounding dalam persepsi kita dan pada pertuturan kita?

·             Apakah kata-kata penghubung yang boleh memberi kesan yang hebat dalam kita berkomunikasi dengan orang lain?

·             Bagaimanakah boleh kita gunakan dengan baik dalam kita mendorong anak kita, dalam kita menyelesaikan sesuatu konflik dalam keluarga mahupun dipejabat, dalam kita mengeratkan silaturrahmi kita dengan orang lain dan dalam kita mengeluarkan kata-kata yang persuasif kepada orang yang sedang kita berkomunikasi itu?

·             Adakah kegunaan pertuturan linguistik ini amat berkesan bagi anak-anak kita, ahli keluarga kita dan kerjaya kita?

 

Sebagai satu taskirah pada diri saya dan anda semua, saya ingin mengingatkan kembali firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Fushshilat Ayat 34 seperti tertulis diatas ini, diantara lain tersebut, ”Tolaklah / tangkislah dengan cara yang lebih baik.”  Inilah yang ingin saya terapkan didalam topik berikut dari kacamata teknologi Neurolinguistik dan Neurosemantik ini.

 

Kalimat dan Rangka Pemikiran

Menurut Dr Michael Hall dalam bukunya berjodol “Winning the Inner Game”, sesuatu perkataan yang dikeluarkan oleh diri kita, samada kecil dan mudah sekali pun boleh membentukkan satu rangka atau bingkai pemikiran dalam minda kita.  Rangka pemikiran inilah yang menyebabkan kita merasa kita memahami sesuatu perkara yang kita tumpukan itu.  Rangka pemikiran inilah yang membuat kita bertindak atasnya atau mungkin tidak bertindak oleh kerananya.  Seharusnya kita perhatikan lebih dekat lagi pada istilah, label, metafora atau kata-kata padat dengan semantik/maknanya yang kita gunakan harian dengan orang lain, lebih-lebih lagi pada ahli keluarga kita sendiri.  Untuk mempelajari mengenal rangka-rangka pemikiran sesaorang itu lihat contoh kata-kata dibawah ini:

1.       ’Tengok tu, sekarang aku mesti bersihkan semua yang berselerak itu.’

2.      ’Ini betul membosankan lah!

3.      ’Aku rasa terbakar dengan cara si Manaf itu melengah-lengahkan kerjanya sampai ke saat akhir.’

4.      ’Tengok tu...aku buat lagi.  Aku ni tak berguna langsung lah.  Semua yang aku buat tak betul, tak menjadi.’

 

Rujuk balik ke empat contoh diatas ini.  Rangka atau bingkai pemikiran apakah yang terserlah didalamnya?  Jawapannya;

1.       Rangka Kemestian/Keperluan (Necessity Frame)

2.      Rangka Pasif (tidak berdaya, tidak aktif)

3.      Rangka ‘Mangsa’ terhadap perbuatan orang lain

4.      Rangka Pengukuran-diri yang sengit (Self-Judgment)

 

Pernahkah anda gunakan salah satu atau sebahagian dari rangka-rangka pemikiran ini, dengan anda sedari, atau dengan anda tidak sedari? Kalau kita fikir-fikirkan, memang banyak kata-kata kita yang kita keluarkan itu adalah perkara yang kita inginkan  - ingin berlaku, ingin disampaikan dll. Tetapi apakah ada sebaliknya?  Maksud saya, apakah ada kata-kata lain yang kita keluarkan yang boleh juga membentukkan satu rangka yang tidak kita ingini?  Tetapi, ianya berlaku!

Foregound dan Background

Kita sedia maklum bahawa kalimat atau perkataan yang kita gunakan ini adalah satu simbol sahaja dan bertindak sebagai satu simbol yang menimbulkan dan juga menerangkan ciri-ciri hidup kita dan juga pengalaman kita.  Pada masa yang sama ia juga boleh mengenepikan, menyingkirkan, menghapuskan dan merendahkan aspek-aspek pengalaman kita yang lain.  Apabila kita timbulkan sesuatu dari kata-kata yang kita luahkan itu, kita dikatakan telah mengedepankan (foreground) rangka pengalaman kita. Dan apabila kita menyingkirkannya, kita dikatakan telah melatar-belakangkan (background) sesuatu yang lain.

Untuk memberikan satu kesedaran bagi kita terhadap kedua perkara foreground dan background ini, tanyakan lah pada diri anda:

  1. Apakah yang wujud pada foreground saya semasa saya didalam keadaan sedar (semasa conscious)?
  2. Apa pula yang berada di background?
  3. Bagaimana pula saya dapat membawa background itu kehadapan fikiran sedar saya?
  4. Kata-kata apakah yang boleh menjadikan sepatah kalimat itu timbul dan menjadikannya satu perkara yang dianggap utama dalam fikiran sedar saya itu?
  5. Apakah proses yang saya gunakan untuk menolak sesuatu perkara itu ke belakang (background) dalam fikiran sedar saya itu?

 

Persepsi kita juga mainkan peranan dalam pandangan yang kita bentukkan didalam minda kita.  Ia juga adalah penyebab jadinya rangka pemikiran kita terhadap sesuatu pengalaman yang kita tempuhi semasa kita didalam keadaan conscious.  Contoh yang baik untuk menerangkan istilah ini adalah seperti apa yang saya paparkan didalam gambar-gambar dibawah ini.


 

 

Tentu sekali anda pernah melihat gambar yang disebelah kiri ini.  Tetapi, apakah pandangan anda itu berbeza dengan orang lain?  Gambar-gambar ini (tengah dan kanan) mempamerkan persepsi yang kita perolehi setelah merenung gambar yang paling kiri.  Didalam beberapa latihan NLP yang telah saya berikan, saya dapati bahawa setelah memberi sekilas pandang pada peserta latihan itu, sebahagian ramai dari mereka berpersepsikan gambar (kiri) itu sebagai gambar saorang perempuan tua dan sebahagian yang lain pula merasa dengan penuh keyakinan bahawa gambar yang dipandangnya adalah gambar saorang perempuan muda, dan bukan sebaliknya.  Mana mungkin kita nampak yang lain, katanya. 

Yang terjadi adalah; yang sebahagian peserta itu ber-foreground-kan saorang perempuan tua dan melatar-belakangkan (background) selain dari itu.  Manakala yang sebahagian lain pula ber-foreground-kan saorang perempuan muda dan melatar-belakangkan (background) yang lain.  Setelah membantu peserta ini mendorongkan pandangannya dari foreground mereka ke background mereka, atau dengan melakukan anjakan paradigma atau paradigm shift atau perceptual shift, barulah mereka dapat mem-foreground-kan background nya atau mem-background-kan foreground nya. Akan tetapi, seseorang itu tidak mungkin dapat melihat kedua-dua sekali dalam satu masa.  Persepsi kita bertindak seolah-olah seperti flip-flop digital, 0 atau 1, bukan kedua-duanya sekali pada satu masa.

Dalam menggunakan bahasa dan kata-kata kita dalam perbualan mahupun penulisan, kita juga dapati bahawa kesan foreground dan background berlaku.  Dan apabila ia berlaku, kesan yang berbeza akan kita dapati dan rasai.  Soalannya, ”Apakah itu penting bagi saya dalam perhubungan saya dengan ahli keluarga saya...?”

Mari kita perhatikan satu peranan besar yang dimainkan oleh kata-penghubung yang mudah disebut dan yang sering kita gunakan.

Kata-Penghubung ’Dan, Tapi, Sungguhpun’ Dan Kesan Hebatnya


Kita maklum bahawa sepatah kata yang diluahkan itu boleh memberikan kesan yang cukup hebat.  Sebahagiannya adalah kata-penghubung seperti ’dan’, ’tapi/tetapi’ dan ’sungguhpun/walaupun’.

Sila lihat contoh dibawah ini dan perhatikan kesan foreground dan background nya:

  1. “Saya tahu dia maksud baik dan dia benar-benar telah mengecilkan hati saya.”
  2. “Saya tahu dia maksud baik tapi dia benar-benar telah mengecilkan hati saya.”
  3. “Saya tahu dia maksud baik sungguhpun dia benar-benar telah mengecilkan hati saya.”
  4. “Dia benar-benar telah mengecilkan hati saya dan saya tahu dia maksud baik.”
  5. “Dia benar-benar telah mengecilkan hati saya tapi saya tahu dia maksud baik.”
  6. “Dia benar-benar telah mengecilkan hati saya sungguhpun saya tahu dia maksud baik.”

 

Ke-enam-enam ayat ini mengandungi idea yang sama.  Contoh ayat 4 hingga 6, sama dengan 1 hingga 3 tapi berbeza dengan susunan rangkai-katanya saja.  Rangkai-kata hadapan, kita namakan rangka 1, dan yang menuruti selepas kata-penghubung itu kita namakan rangka 2.  Didalam ayat pertama, (Rangka 1) adalah ’Saya tahu dia maksud baik.  (Rangka 2) adalah ’Dia benar-benar telah mengecilkan hati saya.’

Dengan perkataan ’dan’ (Contoh ayat 1)

- ayat ini memberi dua set kata yang sama penekanannya dan representasinya juga.  Ini yang telah kita kodkan dalam fikiran kita dan digambarkan sebelah-menyebelah. Seperti kata ”Ini dan Itu.  Kalau kita baca ayat ini, perkataan Ini dirasakan tersusun dengan sama tinggi dengan perkataan Itu.  Terasa juga bahwa kedua-duanya dipaparkan sekali gus, dan penekanannya dirasakan sama.  Perkataan Ini tidak lebih berat penekanan dari perkataan Itu.  Jadi, penggunaan kata ’dan’ ini menunjukkan bahwa kita memproses dua rangkaian kata itu bersama, dengan penekanan atau berat yang sama.  Jadi, bingkai atau rangka kata-kata itu dipandang sebagai dua perkara yang berdiri sebelah-menyebelah.  Dua-dua dianggap sama keutamaannya.  Si pendengar akan merasa bahawa kedua-dua rangkai-kata diberikan keperihatinan yang sama.  Kalau anda sedang berkomunikasi dengan dua orang dengan idea-idea mereka berasingan yang telah anda susun dengan kata-penghubung dan diantara idea-ideanya itu, keduanya akan merasa diri mereka didengari.

Dengan perkataan ’tapi’ (Contoh ayat 2)

- Penggunaan kata ’tapi’ pula mengkod pemikiran kita dengan cara berbeza.  Ianya beredar ke peringkat logikal yang berlainan.  Satu lebih tinggi (atau lebih kehadapan) dari yang satu lagi.  Rangkaian kata kedua itu (”dia benar-benar telah mengecilkan hati saya”) bergerak keatas untuk mengambil satu tempat meta dari rangkaian kata pertama itu. Ianya dikatakan telah merangka-keluar (outframe) rangkaian kata kedua itu. Ia telah menjadikan rangkaian kedua itu lebih utama, timbul dihadapan fikiran sedar kita sebagai satu maklumat yang lebih penting diantara kedua rangkaian kata-kata itu, sambil melenyapkan atau merendahkan keutamaan rangkaian pertama itu.  Sekiranya rangkai kata pertama itu adalah satu yang anda ingin mengutamakan, apakah akibat tujuan anda itu apabila anda menggunakan kata penghubung ’tapi’ didalam kata-kata anda itu?  Tentu sekali akan disingkirkan, dihapuskan, diketepikan dari perbualan itu secara bawah-sedar.  Rangkai kata kedua selepas kata penghubung itu lah yang akan ketara.  Apabila itu terjadi, saorang itu akan merasa kurang selesa kerana kata-katanya atau ideanya itu telah diketepikan sebagai satu yang kurang penting dan kurang diberikan perhatian.  Ini boleh menyebabkan satu tentangan darinya.  Kalau menjadi keterlaluan, ianya boleh menyebabkan salah-faham dan kesengketaan sesama sendiri.  Jadi, perihatin apabila menggunakannya.  Walaupun begitu, sudah tentu kata ’tapi’ itu masih perlu digunakan dikonteks lain juga.  Pilihannya ada ditangan anda sekarang.

Dengan perkataan ’sungguhpun’ (Contoh ayat 3)

- Penggunaan kata ’sungguhpun’ pula mengutamakan, menekankan atau menonjolkan rangkaian kata pertama itu sambil mengurangkan penekanan pada rangkaian kata kedua itu pula.  Disini kata utamanya adalah, ”Saya tahu maksudnya baik.

 

Bingkai/Rangka Kata-Penghubung ’Dan, Tapi, Sungguhpun’


Untuk mudah penjelaskan penerangan ini sila rujuk gambar rajah dibawah ini:

Ayat asalnya,” Saya tahu maksudnya baik < (kata-penghubung) > dia mengecilkan hati saya.”


 

Dan: Kedua-dua rangkaian kata ini timbul sebelah-menyebelah. Sama keutamaannya.


 

Tapi: Disini, rangkaian kedua timbul sebagai foreground dan yang lenyap (background) itu adalah rangkaian pertama.

 


 

Sungguhpun: Disini, rangkaian kata pertama timbul sebagai foreground dan yang lenyap (background) itu adalah rangkaian kedua.

 

Dengan pengertian ini, sila rasakan kesan ayat 4 hingga 6 diatas itu berbanding dengan kesan ayat 1 hingga 3.  Kalau anda lihat ayat 2 dan 6 diatas, kesannya agak sama.  Orang yang mendengar itu akan dapati bahawa apa saja maksud niat baiknya itu, dia tetap telah mengecilkan hati saya.  Yang diberatkan adalah ’mengecilkan hati saya.’  Periksa diri anda dan diri orang yang anda sedang berkomunikasi itu. Apakah kesan penerimaannya apabila anda memilih kata-kata penghubung yang berbeza?  Bagaimanakah anda menyesuaikan kegunaan kata-kata penghubung ini untuk mendapatkan matlamat dan sasaran yang anda inginkan?

 

Tip Untuk Ibubapa - Mendorong Fokus Anak Anda Dalam Kerja Sekolah


Lihat contoh tambahan dibawah ini apabila saorang ibu/bapa itu mengeluarkan kata-kata kepada anaknya dengan menggunakan kata penghubung tapi dan sungguhpun.  Apakah kesan nya?  Apakah yang di foreground dan apa pula yang di background? Yang mana satu yang anda pilih untuk situasi tertentu anda? Sasaran anda? Mengapa?

  1. ”Ahmad, kau pasti dapat solve soalan matematik ini sungguhpun ianya payah dan rumit.”
  2. ”Ahmad, kau pasti dapat solve soalan matematik ini tapi ianya payah dan rumit.”

 

Ayat 1 menimbulkan dalam fikiran bawah-sedar anda, lalu mengutamakan kata-kata ”Ahmad, kau pasti dapat solve soalan matematik ini.”  Ini memberikan satu peransang dan mungkin keyakinan untuk terus maju pada si Ahmad.  Isu payah dan rumit tidak timbul, hanya yang timbul adalah ’pasti dapat solve’ dan seterusnya.  Bagaimana? Hebat ya?  Aturkanlah kata-kata anda itu dengan sasaran yang hendak anda tujukan.

Ayat 2 pula membesarkan kata-kata ”ianya payah dan rumit”.  Rangkaian kata dihadapan kata-penghubung tapi itu, sungguhpun telah disebutkan dahulu, seolah-olah berlalu tanpa disedari.  Yang melekat pada perhatian pendengar adalah kata-kata ”ianya payah dan rumit.”  Perhatikan betapa negatif penekanan terhadap emosi kita atau anak kita akan berlaku?   Memang tidak ragu lagilah kalau anak anda benar-benar merasa yang ianya payah dan rumit.  Baikkah bagi diri anak anda?  Tentu sekali tidak.

Dan biasanya adalah lebih baik dari Tapi


Mari kita lihat senario ini. Anda baru saja selesai berkongsi sesuatu fikiran atau idea dengan anak anda dan kata pertama yang keluar dari mulutnya ialah “tapi….”  Apakah reaksi anda?  Anda rasa dia mendengar (idea itu)?  Anda rasa dia telah tolak idea anda itu tanpa memberikannya sesaat untuk memikirkannya?  Sekarang anggap yang dia berkata “dan” daripada “tapi  Adakah ini rasa berlainan?  Anda rasa bahwa dia telah mendengar dan sekarang sedang membina idea anda itu?

Perkataan tapi ada potensi untuk mengecilkan atau musnahkan apa saja idea, pemikiran atau pengalaman sejurus sebelum perkataan tapi itu.

“Anda buat homework dengan cukup baik tapi anda melakukan beberapa kesalahan yang perlu diperbaiki.”  

Disini kita sebenarnya membesarkan kesalahannya.  Apakah kesan bagi semangatnya dan keyakinannya? Selalunya kita gunakan perkataan tapi bila kita dapati perkataan dan adalah pilihan yang lebih baik.  Mula perhatikan dimana perbualan anda boleh menambahbaikkan komunikasi anda dengan menggunakan kata dan daripada kata tapi.  Latih dan terus berlatih untuk merubah kearah yang lebih baik dari apa yang anda telah melakukan.cara kebiasaan anda.

Menggunakan Tapi Sebagai Satu Advantage


Sungguhpun begitu, memanglah ada masa-masa yang penggunaan kata tapi itu harus digunakan dan amat berguna dalam konteks yang tertentu. Disini ada dua keadaan dimana anda boleh gunakan kata tapi dengan satu kelebihan (advantage) bagi diri anda;

·         Anda ingin atau perlu mengisytiharkan sesuatu. Dan anda mahukan ianya hilang dari kesedaran orang yang mendengarnya.  “Dalam keluarga kita, kita belum lagi berkomunikasi sebaik mana yang kita harus lakukan, tapi itu adalah perkara lepas, perkara lampau dan kita boleh lakukan sesuatu berlainan sekarang.”  Rangkaian kata sebelum kata-penghubung tapi itu gugur dari kesedaran pendengar.  Sekarang fikiran kita terdorong ke rangkaian kata selepas kata-penghubung tapi.  Bagaimana? Boleh cuba?

·         Dalam contoh ini, anda boleh gunakan kata-penghubung tapi sebagai satu gerakan pre-emptive dengan seseorang lain yang kelihatan akan merespon dengan kata “ya, tapi.” (atau Yes, but...)  Sebagai contoh, katakanlah anda mahu menawarkan satu saranan kepada pasangan anda, yang mana selama anda kenali nya ia suka mencari alasan untuk menolak (meng-objek) atau mencari jalan untuk betindak secara negatif kepada idea orang lain.  Anda boleh katakan seperti ini, “Anda mungkin fikir yang apa yang saya sarankan tidak akan berjalan baik, tapi saya berikan anda sepenuhnya untuk mempertimbangkannya dan beritahu saya apa fikiran anda.”  Kalau pasangan anda ini adalah saorang yang suka mengambil pandangan yang berlawanan (mismatcher), ia akan rasa terdesak untuk menyanggah (tidak setuju) dengan idea itu yang tersusun sebelum kata-penghubung tapi itu, lebih-lebih lagi kalau anda berhenti (pause) sejenak sebelum meneruskan dengan kata tapi dan keseluruhan pemikiran anda itu (dalam rangkaian kedua selepas kata-penghubung tapi).  Ini akan menggerakkannya ke satu tahap persetujuan dengan rangkai-kata kedua itu dan akan lebih terjurus untuk mempertimbangkan saranan anda berdasarkan dengan merits nya.  Cara perbahasan ini sangat persuasif.  Sungguh hebat.

 

Penyelesaian Konflik – Mengenali Tentangan Dan Melembutkannya


Bolehkah kita gunakan cara penyusunan kata-penghubung ini didalam perundingan; bisnes ataupun keluarga?  Sudah tentu.  Sebab, ianya sering digunakan oleh saorang negotiator, saorang perunding.  Didalam sesebuah perundingan pula, baik perundingan dengan anak-anak anda, ahli keluarga anda mahupun dengan ahli korporat dipejabat anda, pemerhatian dan penggunaan kata-kata penghubung ini dapat membantu anda menjadi saorang komunikator yang hebat.  Anda boleh menggunakan didalam sesebuah situasi yang normal lebih-lebih lagi yang genting seperti penyelesaian konflik (conflict resolution).  Lihat contoh-contoh dibawah ini:

  1. Idea anda itu adalah satu idea yang baik dan saya tak setuju dengannya.
  2. Idea anda itu adalah satu idea yang baik tapi saya tak setuju dengannya.
  3. Idea anda itu adalah satu idea yang baik sungguhpun saya tak setuju dengannya.

 

Yang mana satukah yang akan menimbulkan tentangan (resistance) dan membuat saorang itu terpaksa mempertahankan kedudukannya (pertahanan (defense))?  Dalam suasana pekerjaan, tentangan tidak dapat menghasilkan performance kerja yang baik dan tinggi.  Ia menghambat perjalanan kerja kita dan kerja pejabat kita.  Pekerja bawahan kita, termasuk diri kita juga, ingin diberikan perhatian dan ingin ideanya diberikan pertimbangan yang baik, ingin ideanya didengari dan bukan terang-terang ditolak.

Contoh yang lain pula:

  1. Saya faham pandangan anda itu dan ini adalah pandangan satu lagi yang anda dapat pertimbangkan.
  2. Saya faham pandangan anda itu tapi ini adalah pandangan satu lagi yang anda dapat pertimbangkan.
  3. Saya faham pandangan anda itu sungguhpun ini adalah pandangan satu lagi yang anda dapat pertimbangkan.

Ayat yang pertama memberikan peluang yang sama untuk anda dan orang yang anda sedang berunding itu untuk melihat kedua-duanya dengan keutamaan yang sama.  Disini anda tidak kelihatan menolak saranan pertamanya, malahan mendorongnya untuk melihat pandangan yang hendak anda sorongkan supaya ia dapat mempertimbangkan juga.

Ayat yang kedua pula mengenepikan atau menghapuskan rangkaian ayat pertama (”Saya faham pandangan anda itu”) dan terus mengforegroundkan ayat yang kedua (”ini adalah pandangan satu lagi yang anda dapat pertimbangkan.”) sebagai yang utama.  Kesedaran pendengar didorongkan ke rangkaian ayat yang kedua.  Bagaimanakah perasaan orang yang anda sedang berkomunikasi itu, dengan anggapan yang anda telah merendahkan keutamaan pandangannya?  Apakah dia akan bertindak dengan kebencian, kemarahan, kegirangan, jatuh semangat atau dengan tindak-balas yang sengit dan tentangan yang hebat yang mungkin boleh memutuskan persahabatan anda, silaturrahim anda?  Perhatikanlah baik-baik.  Saorang komunikator yang baik amat perihatin dengan penggunaan kata-kata seperti ini, dan menjauhkan dirinya dari mengeluarkan kata-kata yang dianggap menyingkirkan pendapat orang lain.

Ayat yang ketiga pula bertindak kontra daripada ayat yang kedua.

Jadi, apakah pilihan kata-penghubung anda semasa berkomunikasi dengan anak-anak anda atau ahli keluarga anda? Dan dalam konteks apa yang akan anda gunakan?

Kata-Persetujuan


Ada satu lagi cara yang anda boleh gunakan untuk meredakan suasana pertelingkahan atau tentangan kalau ianya dianggap boleh berlaku.  Anda boleh menggunakan kata persetujuan dan terus di ikuti dengan kata-penghubung ’dan’ untuk memasukkan hasrat atau idea anda selepasnya secara halus.  Misal;

”Saya setuju (atau gunakan perkataan faham) yang kamu hendak bermain bola dengan kawan kamu dan homework kamu mesti dihabiskan dahulu.” 

Persetujuan ini melembutkan dirinya dan memberikan satu anggapan yang anda sebenarnya bersetuju.  Itu tidak lah semestinya demikian.  Kata persetujuan juga boleh menimbulkan suasana rapport, sungguhpun ada lebih baik rapport ditubuhkan dahulu. Kemudian anda bolehlah gunakan kata-penghubung dan untuk menerapkan suatu yang anda inginkan anak anda lakukan didalam rangkaian kata berikutnya.  Disini, kita maksudkan homework sekolah nya.  Menyusun kata-kata persetujuan ini lebih baik dari terus menegah atau menentang keinginan nya.

Berikan Sebab Untuk Dituruti


Memberikan sebab bagi permintaan anda boleh menambahkan peluang anda untuk ianya dilakukan.

Lain kali anda mahukan anak anda membuat sesuatu, masukkan sebabnya bila anda buat permintaan anda itu.  “Tolong bersihkan bilik kamu, sebab ayah rasa senang bila rumah ini kelihatan cantik.”

 

 

Selamat Mencuba dan Selamat Maju Jaya.

 

 

 

M Nasser Ismail, ACMC

Personal & Executive Coach

Neuro-Semantics & NLP Trainer                                                                                                                                     

Rujukan: Dr Michael Hall (Winning the Inner Game), Dr Roger Ellerton, E. Langer, A. Blank and B. Chanowitz ("The Mindlessness of Ostensibly Thought­ful Action: The Role of 'Placebic' Information in Interpersonal Interaction," Journal of Personality and Social Psychology, 1978, Vol. 36, No. 6, 635-642

 

 


 
 
  Today, there have been 110 visitors (132 hits) on this page! Copyright 2007-Transcend-Actualise-Meta-Coach  
 
Bringing you up to your highest level of performance at your highest potentials.
This website was created for free with Own-Free-Website.com. Would you also like to have your own website?
Sign up for free