To Your Highest and Best. Transcend and Actualise In the Most Resourceful Way Your Heart Desires.
   
 
  Memperbaiki Komunikasi Dalam Keluarga
 




MEMPERBAIKI KOMUNIKASI ANDA DALAM KELUARGA

Kesan Struktur Pertuturan

 

M Nasser Ismail

Ogos 2010

 


 

 

Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan.  Tolaklah/tangkislah dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan, seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.”

 

Surah Fushshilat Ayat 34

 

 


 

·             Apabila kita mula membuat satu perhubungan melalui komunikasi perbualan kita, apakah struktur pertuturan yang kita gunakan selama ini?

·             Apakah segala yang terkandung dipelusuk hati kita akan kita keluarkan dalam perbualan kita itu?

·             Apakah ada struktur yang berbeza yang mengawal pertuturan kita?

·             Apakah tahap kesedaran kita pada struktur-struktur ini kalau ia wujud?

·             Bagaimanakah timbulnya andaian, tanggapan dan dugaan dalam kita menjalani perbualan berkomunikasi kita tiap hari?

·             Bagaimanakah boleh kita gunakan pertuturan linguistik yang berkesan pada anak-anak kita?

 

Allah berfirman didalam Surah Fushshilat Ayat 34 seperti tertulis diatas ini, diantara lain tersebut, ”Tolaklah / tangkislah dengan cara yang lebih baik.”  Ayat ini sungguh cantik dan sungguh tepat.  Sadaqallahul’azhim. 

 

Didalam tafsir Al-Azhar karangan Dr Hamka, ayat ini memberi jalan bagi kita sebagai salah satu dasar saorang da’i memberi dakwah kepada orang lain.  Katanya lagi, ayat ini menegaskan bahwa yang baik dan buruk tidaklah sama.  Akan tetapi, untuk menerangkan dan menegakkan yang baik itu hendaklah diaturi dengan cara yang baik pula dalam menangkisi sesuatu yang bercanggah dengan jalan yang hak.  Ia menerangkan yang janganlah mentang-mentang kita merasa berada dipihak yang benar berlawanan dengan pihak yang lain itu, kita pula melakukan tolakan kita (hujjah dan sebagainya) dengan cara yang kasar dan dianggap menceroboh.  Kadang-kadang kebaikan itu pula menjadi kabur karena sikap ceroboh orang yang mempertahankan itu, ujarnya lagi.  Inilah satu satu teladan yang jelas dan penting bagi diri kita dalam menjalani samada usaha dakwah mahupun berkomunikasi secara am dengan sesiapa saja, lebih-lebih lagi dengan ahli keluarga kita sendiri.

 

Oleh kerana itu, mari kita lihat lebih dekat lagi cara kita bertutur.   Soalan yang ingin saya berikan untuk kita berfikir bersama adalah, ”Apakah pertuturan kita dalam berkomunikasi dengan orang lain berstruktur tertentu?”  Marilah kita sama-sama lihat pembentangan pengertian struktur ini dalam kita berkomunikasi dengan orang lain,  mahupun dengan diri kita sendiri. 

Perbualan Dalaman – Struktur Permukaan

Pernah anda ditanya untuk menerangkan sesuatu pengalaman yang pernah anda harungi dimasa lampau?  Dan apabila anda merenung kembali dan berfikirkan pengalaman anda itu, anda pasti dapat membayangkan dan merasakan kejadian berkenaan itu dengan serba terperinci.  Ya bukan? Kemudian didalam perbualan anda dengan orang kedua, pernahkah anda terasa bahwa cerita yang timbul dalam perbualan anda itu, dari pengalaman yang tersirat didalam hati dan pemikiran anda itu bukanlah keseluruhan ceritanya, tapi satu rangkaian cerita yang seolah-olah telah ditapis secara otomatik didalam diri anda?  Anda yang memutuskan apa yang hendak anda timbulkan dan apa yang tidak - apa yang anda rasa perlu ditimbulkan dan apa yang tidak – dan seterusnya.  Tidak kah begitu?

Pada tahap dalaman di ruang pemikiran saorang yang mengucapkan sesuatu, dia mengetahui secukupnya (terperinci dan menyelami dalam pelusuk hati dan fikirannya) apa yang hendak ia katakan dengan saorang yang lain dalam sesuatu perbualan.  Ini dinamakan Struktur Dalaman (satu struktur pemikiran asal) dan ianya beroperasi di satu peringkat para-sedar atau tidak-sedar (’unconscious’).  Secara biasa, apakah dapat sesaorang itu mengeluarkan kesemuanya? Mungkin boleh tapi perbualannya itu akan menjadi berjela-jela panjangnya. Sanggup kita menunggu dan sanggup kita mendengarnya?

Pada tahap dalaman di ruang pemikiran saorang yang mengucapkan sesuatu, dia mengetahui secukupnya (terperinci dan menyelami dalam pelusuk hati dan fikirannya) apa yang hendak ia katakan dengan saorang yang lain dalam sesuatu perbualan.  Ini dinamakan Struktur Dalaman (satu struktur pemikiran asal) dan ianya beroperasi di satu peringkat para-sedar atau tidak-sedar (’unconscious’).  Secara biasa, apakah dapat sesaorang itu mengeluarkan kesemuanya? Mungkin boleh tapi perbualannya itu akan menjadi berjela-jela panjangnya. Sanggup kita menunggu dan sanggup kita mendengarnya?

 

 

Oleh itu, untuk menjadikan perhubungan ini efektif, biasanya pengucap itu akan cuba ‘memudahkan’ penerangan yang penuh itu (yakni-pemikiran dari struktur dalamannya) dengan tiga proses penapisan seperti berikut;

 

(a) menghapuskan (delete) sesuatu rangkaian ceritanya yang dia rasa tidak perlu dikeluarkan,

(b) meng’amkan/memukul-ratakan/mengeneralisasikan (generalize) sesuatu maklumat agar dia tidak menerangkan satu-persatu segala perbezaan atau persamaan yang dia alami,

(c) menghadkan/mengubahkan/memutar-belitkan/mengherot-benyotkan (distort) pengalamannya dengan rangkaian cerita yang dia tokok-tambahkan. 

Ketiga-tiga proses ini dilakukan dengan tidak disedari, atau ditahap minda bawah-sedar atau tidak-sedar.  Tapisan yang berlaku didalam fikiran kita ini semua dilakukan berdasarkan dengan kepercayaan-kepercayaan yang kita perolehi, nilai-nilai yang kita punyai, ingatan-ingatan yang terkandung dalam memori kita, keputusan-keputusan yang pernah dibuat, strategi-strategi yang pernah disusun dan apa saja bahagian yang mahu didengari.

 



Gambar rajah yang menerangkan Struktur Dalam dan Struktur Permukaan dan diselangi dengan 3 proses Hapus (Deletion), Tokok-Tambah (Distortion), Am (Generalisation)

 

Struktur Dalam

Struktur Permukaan pula adalah bahagian (apa saja) pemikirannya yang dikeluarkan dalam perhubungannya dengan orang lain (seperti kata-kata yang diluahkannya, penulisannya, nada suara dan bahasa tubuhnya) atau kepada dirinya sendiri (kata-kata hatinya atau dialog-dalaman nya).  Akhir sekali, apa yang dikomunikasikannya itu – yakni struktur permukaan ini – jelas adalah hanya satu subset kecil dari pemikiran asalnya (struktur dalaman); ia mungkin pudar, kurang jelas atau mengelirukan dan dengan itu juga boleh menyebabkan satu kepincangan komunikasi; seperti biasa disebutkan sebagai ‘miscommunication.’


Untuk menerangkan struktur dalaman dan struktur permukaan dan kenapa ianya penting untuk membezakannya, perhatikan situasi berikut; 

Anak anda masuk kedalam bilek, kelihatan muram, dan sebelum dia mengeluarkan satu perkataan, biasanya satu proses penapisan berlaku.  Satu penapisan pemikiran dalamannya – yakni struktur dalaman nya.  Ini berlaku dengan sekelip mata.  Sungguh cepat.  Penapisan ini berlaku secara tidak-sedar.  Ianya berlaku melalui model dunia anak itu sendiri (ini termasuk  - kepercayaan nya dan nilai nya, apa yang dia rasa dia boleh dan tak boleh katakan kepada anda dan sebagainya).  Setelah proses ini berlaku, kemudian barulah dia keluarkan kata-katanya dari mulutnya itu, sebagai contoh - “Kawan-kawan saya tak sukakan saya.”  Mendengarkan ini saja, pasti anda tertanya-tanya dan syak bahwa, ”Itu bukan cerita penuh nya. Pasti ada lebih dari itu.”  Betul?

Kata-kata ini adalah keluaran dari struktur permukaan komunikasinya dan bukan struktur dalaman.  Selepas mendengarnya, apakah pula berlaku dalam pemikiran anda sebagai ibubapanya?  Anda memproseskan maklumat tersebut?  Sekarang, giliran anda pula memproses dalam fikiran anda lalu menapiskan kata-kata atau maklumat nya. Sama juga, tapisan ini akan berlaku melalui segala kepercayaan yang terdapat dalam diri anda serta nilai-nilai yang tersemat didalamnya, juga memori anda dan segala keputusan anda – kalau hendak kata, kesemua pengalaman anda semasa anda kecil dahulu. 

Apa yang berlaku? Anda resapkan maklumat itu lalu memproseskan ditahap struktur dalaman anda dahulu, kemudian tapis balik kesimpulannya melalui apa yang anda percaya anda boleh katakan kepada anak anda itu, termasuk pengukuran atau anggapan anda tentang apa yang sedang anak anda lalui dalam hidup nya.  Kesemua ini terjadi dengan sekelip mata juga.  Sungguh pantas. Berdasarkan dengan ini, anda mungkin pula keluarkan kata-kata yang timbul (struktur permukaan) dari struktur dalaman yang telah diproses itu seperti “Mak tahu benar apa yang kau alami sekarang.  Semasa mak berumur seperti kau, ini dia yang mak lakukan (sambil menunjukkan kepada anaknya apa yang pernah anda lakukan).” 

Nasihat anda mungkin baik dan tepat bagi diri anda saja, tapi apakah ianya tepat dan sesuai bagi anak anda? Mungkin tidak setepat yang anda fikirkan dan tidak sesuai pada diri anak anda; sebab anda tidak atau mungkin belum mengerti apa maksud sebenarnya apabila dia katakan “Kawan-kawan saya tidak sukakan saya.”  Apakah anda terlalu cepat mengsyak sesuatu, menduga sesuatu, menganggap sesuatu sebelum selidik lebih dalam lagi?  Akibatnya, dia mungkin menjauhi diri anda dan merujuk pula pada orang lain untuk mendapatkan nasihat dan sokongan.  Kenapa? Sebab, dia rasa anda tidak memahami perkara yang sebenarnya – perkara yang sedang ia harungi ketika itu.  Sungguh sayang kalau itu berlaku sebab peluang untuk anda membantu anak anda itu mungkin terlepas.

Untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan lagi sebagai ibubapa, anda perlu lebih perihatin terhadap pengalaman anak-anak anda dan timbulkan sikap ingintahu pada diri anda mengenai apakah cerita sebenarnya. Kalau begitu, bagaimana boleh anda mulakan? Anda jalinkan rapport dahulu dan bertanyakan dengan menawarkan soalan-soalan yang boleh membantu kedua-dua pihak (anak anda dan diri anda juga) untuk memahami dan menghayati struktur dalaman nya itu – apakah yang sebenarnya berlaku didalam dirinya.  Timbulkan kembali maklumat-maklumat yang mungkin telah dihapuskan..yang telah di’amkan dan yang telah diherot-benyotkan (ketiga-tiga proses penapisan diatas itu).  Lakukannya satu persatu.  Sejurus saja kedua-dua pihak telah mendapatkan penjelasan, anda akan dapati yang itulah masanya anda akan berada dalam keadaan yang lebih sedia dan lebih baik untuk memberikan nasihat-nasihat yang diperlukan.  ”Ini makan masa dan saya tak ada masa lah untuk buat analisa-analisa macam ini?  Bersabar.  Anda mahu keberkesanannya bukan?

Dalam beberapa kajian, apa yang sering berlaku adalah apabila anak anda diberikan sokongan untuk menjadi lebih jelas dengan isunya dan bagaimana untuk menyelesaikannya sendiri, dia akan lebih berdikari untuk menangani masalah nya sendiri.  Dia tidak lagi perlu mendapatkan nasihat anda mahupun orang lain.  Ini bermakna, dengan memberikan sokongan berterusan dan bersikap ingintahu saja boleh menghulurkan satu jalan keluar bagi anak anda dalam ‘krisis’nya.  Dengan ini, anda sebenarnya telah memberikan satu sokongan istimewa yang cukup berharga untuk menolongnya menemui jalan penyelesaian - jalan yang membawanya dari struktur permukaan ke struktur dalamannya, melalui pertanyaan yang tajam dan penggunaan bahasa yang baik.  Lazimnya perubahan dan tindakan seterusnya akan diambilnya dengan penuh komitmen, penuh fahaman dan bertanggungjawab.  Sebab? Jalan penyelesaian itu adalah penemuannya sendiri dan bukan atas suruhan mahupun desakan orang lain.

Jadi bagaimana untuk mencapai tahap kemahiran ini?  Apakah jalannya?

 

Jejaki Perbualan Dalaman

 

Untuk memahami apa yang disampaikan oleh orang lain dalam perbualan mahupun perbincangan, kita harus bermula dengan bersikap menerima dan menganggap segala maklumat yang disampaikannya itu sebagai benar atau betul, sungguhpun anda rasa yang kata-kata/maklumat yang dikeluarkannya itu tidak semestinya tepat atau betul.  Itu satu permulaan bagi diri anda.  Bagi anda, anda harus menerimanya sebab apa yang dilahirkannya itu adalah satu yang dirinya rasa benar dan munasabah mengikut model dunia dalaman nya itu.  Tak perlu anda sangkalkan. Anggapan/andaian ini dinamakan dalam bidang Neuro-Linguistik (NLP) sebagai ”Praandaian Linguistik.” (Linguistic Presupposition)

Sebagai pendengar, mengetahui sistem pemaparan dalaman (internal representational systems) anak anda adalah satu kelebihan bagi anda.  Dengan itu anda boleh bertindak secara lebih mudah lagi untuk menawarkan pandangan-pandangan alternatif (reframe model dunia dalamannya itu) untuk ia mempertimbangkan dan lalu merubah dirinya. Apakah potensinya?  Potensinya – ia akan membantu diri anda itu mengembangkan mahupun melonggarkan (sekira perlu) model dunia dalaman yang anak anda perolehi sekarang supaya pandangannya dan pemikirannya akan lebih meluas dan lebih berdaya-sumber (resourceful) untuk menjalani kehidupannya itu.

Sudah tentu, dengan memahami apa yang anak anda andaikan dalam pengalaman hidupnya itu yang menjadi model dunia dalamannya, melalui pilihan kata-kata yang dikeluarkan, yang mencerminkan apa yang terkandung didalam model dunianya itu, boleh memberikan isyarat serta maklumat yang berharga untuk diri anda.  Dengan kelebihan kebolehan ini anda pasti dapat memberikan sokongan yang berguna, baik dan hebat untuk anak anda sambil memimpinnya kearah kedewasaan dirinya kelak.

Tanggapan/Dugaan (Mind-Read)?

 

Satu bahagian yang juga menarik adalah mind-read. Dalam mana saja perbualan harian, dugaan atau mind-reading seringkali berlaku.  Kadangkala dugaan kita tepat, seringkali juga ianya tersasar.  Dalam sesebuah perbualan itu, apabila kita mula menduga (tanpa usul periksa dan tanpa bertanyakan lebih lanjut untuk memahami struktur dalaman nya) apa maksud kata-kata orang kedua dalam perbualan kita itu, sudah tentu banyak tanggapan telah kita lakukan tanpa kita sedari.  Dan tanggapan atau penafsiran segala perbualan kita itu sebenarnya datang dari maklumat yang telah melalui proses penapisan dalaman kita – berdasarkan dengan nila-nilai kita, kepercayaan-kepercayaan kita, sejarah hidup dan pengalaman kita, buruk baik yang kita putuskan dalam pengalaman kita dan lain-lain lagi.  Cuba anda perhatikan, berapa banyak kali kah anda telah terjerbak dalam menduga (menganggap) sesuatu cerita dalam perbualan anda itu selama anda membuat perhubungan atau perbualan dengan orang lain?  Berapa banyak kali kah yang tersasar?

 

Kesemua kesimpulan yang anda buat adalah ciptaan pandangan berdasarkan dengan model dunia anda sendiri yang anda telah terjemahkannya kembali seolah-olah itulah dunia dalaman orang yang anda sedang berkomunikasi itu.  Apakah agaknya kualiti perbualan anda itu?

 

Sebagai contoh, perhatikan ayat berikut: “Semalam Katrina tinggalkan kampung selepas buat huru-hara.” Yang mana satu andaian dan mana satu dugaan?

·         Ada saorang bernama Katrina.

·         Katrina akan balik dan membuat huru-hara lagi.

·         Katrina mencederakan orang.

Sebenarnya kesemua ini adalah mind-reading - dugaan/tanggapan.  Katrina itu boleh jadi saorang manusia atau sesuatu yang berbeza dari apa yang anda fikirkan – Katrina mungkin nama saorang budak kecil, saorang dewasa, seekor anjing ataupun ribut taufan.  Tidak ada dalam ayat itu yang menganggap yang Katrina akan pulang.  Katrina membuat huru-hara, tapi kita tak tahu kalau ianya adalah huru-hara fizikal atau emosional. Bagaimana?  Apakah anda pasti kebenaran dugaan anda itu?

 

Contoh Tambahan:

Baca ayat yang berikut.  Kemudian tepatkan apa yang diandaikan.

Orangtua pasangan(isteri) saya melayan anak-anak saya berlainan sebab mereka cacat.” 

Mari kita susunkan:

Saya ada saorang pasangan – ya;

pasangan saya ada orangtuanya – ya;

saya ada anak – ya;

anak-anak saya di layan dengan berbeza – ya;

anak-anak saya cacat.

Ini satu dugaan/tekaan/anggapan (mind reading)?

Soalannya, apakah mungkin yang cacat itu adalah orangtua isteri (pasangan) saya?  Apakah akibat dan kualiti komunikasi ini?

 

Perhatikan contoh yang berikut pula:  Kehidupan saya porak-peranda.”  

Apakah bayangan dalam minda anda apabila terdengar perkataan porak-peranda yang disebutkan itu?  Segala apa yang dibayangkan sudah pasti adalah satu yang terbit dari model dunia anda sendiri dan bukan kenyataan penyebut itu.  Soalannya, kalau kita mahu mengetahui apa keadaan porak-peranda yang dia alami itu, kita harus juga bertanyakan apakah pula keadaan kehidupan nya sekira ianya tidak berporak-peranda?  Kita terbalikkan untuk memahaminya.  Timbulkan sikap ingintahu anda itu dan bertanyakanlah apakah yang dimaksudkan dengan kata-kata ’porak-peranda’ itu dan apa pula keadaan sebaliknya.  Ini juga memberi kita peluang untuk memahami kedua cabang kata-kata itu. Dengan cara begini anda tidaklah membuat sebarang andaian mahupun dugaan.

 

Kegunaan Praandaian Linguistik

Anda boleh gunakan praandaian linguistik untuk membantu anak anda untuk mendapatkan pandangan alternatif pada suatu masalah atau pandangan nya secara am.  Untuk melakukan ini, anda perlu sedar praandaian yang anda gunakan dalam kata-kata harian anda.  Kesedaran ini dan tindakan sesuai dengan kesedaran anda ini sudah pasti akan menjanakan satu impak dan kesan yang baik pada orang kedua yang anda sedang berkomunikasi itu; anak anda.

Sebagai satu contoh, selepas bapa saya meninggal, ramai orang telah menziarah keluarga kami dan sebahagiannya pernah berkata kepada saya, ”Saya tahu awak sedih dengan kehilangan bapa awak tu.”  Macam mana dia tahu? Perhatikan!  Niat mereka memanglah baik.  Untuk menjadikan ayat ini munasabah, saya terpaksa terima praandaian pengucap itu sebagai ”kematian bapa saya itu menjadikan saya sedih.  Sekarang cuba fikir. Didalam fikiran anda, apakah impaknya terhadap keadaan emosi saya saat itu dengan kata-kata seperti itu?  Apakah yang akan tercetus dalam diri saya?

Sekarang perhatikan dan bandingkan dengan kata-kata berikut: “Saya tahu awak akan mendapat kekuatan untuk mengatasi kehilangan bapa awak itu.”  Cuba anda baca sekali lagi dan bandingkan dengan kata-kata terdahulu itu.  Ada beza tak dalam penyerlahan kedua-dua kata-kata ini didalam sanubari anda (dalam keadaan mental-emosi anda) sekiranya anda adalah diri saya? Apakah ucapan yang kedua itu dapat memberikan ruang mental-emosi yang berbeza? Lebih baik?  Tentu sekali bukan?

 

Tip Untuk Ibubapa - Kegunaan Praandaian Linguistik

Untuk mendapatkan perspektif yang lebih baik dalam menggunakan kata-kata anda atau bahasa anda dengan praandaian linguistik ini, perhatikan contoh berikut dalam konteks perhubungan anda dengan anak anda:

1.    "Kau mahu membuat projek sekolah kau hari ini atau esok?  Andaian utama ayat ini adalah – anak anda harus kerjakan projek sekolahnya. Disini anak anda sebagai pendengar hanya menerimanya untuk menjadikan ayat itu mengerti baginya.  Tentang bila dia akan lakukan - dia ada beberapa pilihan.  Walaubagaimanapun, kalau dia terima praandaian ayat itu, pilihan nya itu akan hanya terhad pada “hari ini” atau “esok”.  Tapi sudah pasti projek sekolah itu mesti dibuat.  Ini dinamakan ikatan-berganda (atau mungkin boleh disebut serampang dua mata) atau double bind.

Ikatan-berganda ini boleh digunakan pada anak anda tetapi berhati-hati menggunakan nya, kalau berlebihan akan menghilangkan efek nya.  Satu lagi contoh yang anda boleh gunakan adalah, “Mahukah kau pergi tidur sekarang atau selepas program TV kegemaran kau?  Dengan merangkakan soalan ini, ia seolah-olah memberikan anak anda satu ilusi yang mereka ada pilihan.  Tak peduli masa apa pun yang anak anda pilih, mereka dah komited pada diri mereka yang mereka mesti masuk tidur.   Contoh-contoh yang lain; ”Kamu mahu makan nasi dengan sayur kangkong atau sayur sawi?” ”Kamu mahu mandi dengan mama kah atau dengan ayah?”

2.    "Jangan selesaikan masalah matematik ini terlalu pantas.  Dalam ayat ini terkandung satu andaian yang memang possible atau berkemungkinan untuk menyelesaikan masalah matematik itu.  Soalannya hanyalah kecepatannya untuk menyelesaikan masalah matematik yang diberikan itu.  Sungguhpun ianya satu ayat negation atau peniadaan dengan kegunaan kata ’Jangan’, kesannya adalah positif.

3.    "Selepas kau habiskan kerja sekolah kau, kau akan dapati bagaimana mudah untuk menyelesaikan masalah (lain) yang serupa.” Dua kemungkinan praandaian yang terkandung didalam ayat ini adalah: 1) kerja sekolah akan diselesaikan, dan 2) ianya mudah untuk menyelesaikan masalah yang serupa.

4.    "Mahukah anda beritahu kawan-kawan anda dimana mereka boleh hubungi anda sebelum anda pindah dari tempat tinggal ini?  Perhatikan apa yang diandaikan – pendengar itu akan pindah dari tempat tinggal itu.  Berkata seperti ini lebih efektif dari berkata, “Kau pindah dari tempat tinggal ini!”  Ini menunjukkan pilihan, sungguhpun begitu pilihan itu bukan kerana pindah dari tempat ini.  Pilihannya adalah untuk memberitahu kawan nya atau tidak.  Ini dipandang sebagai cara lembut untuk menyuruh orang berkenaan ini berpindah ketempat lain.

5.    "Apa yang mahu kau capai hari ini?  Soalan ini mudah, terus dan memfokuskan perhatian pendengar pada fakta-fakta yang mendorongnya untuk mencapai sesuatu pada hari ini.

6.    "Beritahu mak tentang masalah kecil kau tu.”  Anak anda mungkin datang bertemu anda dengan satu masalah peribadinya.  Dia melihatnya sebagai satu masalah yang besar. Anda boleh bermula dengan akui yang pandangannya terhadap masalahnya itu adalah besar – ini adalah cara anda memula menjalinkan rapport dengannya sambil memadankan (match) diri anda dengan nya.  Selepas itu, anda boleh mula merujuknya sebagai satu masalah yang kecil sahaja – sesuatu yang boleh dia atasi – suatu masalah yang pernah diterimanya dahulu dan telahpun menjadi satu kejadian lampau.  Sarankan dengan kata-kata yang berperangsang dan perhatikan apa yang berlaku pada dirinya secara mental-emosi.   Dengan menjalinkan rapport saja, anda boleh menolong untuk merubahkan pandangannya dari satu masalah besar ke satu yang kecil dan boleh diatasi.

Itulah enam contoh yang anda dapat gunakan sebagai garispandu untuk berhubung dengan anak anda agar mereka dapat dibantu untuk menjadi lebih berdaya-sumber.  Dengan itu, untuk menjadikan praandaian linguistik ini berkesan, ianya haruslah dapat di terima langsung oleh minda-bawah-sedar si pendengar itu.  Jelas, jalinan rapport dan perasaan selamat (secure) harus wujud untuk mendapatkan penghasilan yang baik.  Ini juga benar dalam sebarang usaha perubahan yang anda laksanakan.

Apabila kita bincangkan soal perkembangan diri anak kita, memang jelas praandaian linguistik diatas ini akan pasti menyokong perkembangan mental-fizikal-emosi mereka. 

Dengan kesedaran kita tentang praandaian linguistik ini sudah tentu kita dapat menghayati cara berhubung dengan anak-anak kita.  Dan kita juga harus berhati-hati sebab berapa banyak kali kah yang telah kita keluarkan kata-kata kita dahulu yang telah sebenarnya menanamkan saranan-saranan negatif terhadap diri anak kita (pendengar) itu?  Cuba perhatikan contoh-contoh ini; “Kalau kau tak buat homework itu, kau akan jadi orang yang tak guna langsung dimasa depan.” “Menonton televisyen bermakna kau ni malas.”  “Kau tak akan sedar sekarang, tapi kau pasti akan merasakan kesusahan dalam hidup kau nanti.”  “Jangan jadi bodoh!” 

Fikirkan, sebagai saorang kanak-kanak atau sebagai saorang remaja, sekiranya anda hidup didalam suasana yang lumrah mengeluarkan kata-kata seperti ini, model mental/pemikiran apakah yang akan anda bentukkan didalam dan pada diri anda - mengenai diri anda mahupun mengenai dunia disekeliling anda?

Sila juga rujuk artikel-artikel yang berkaitan bertajuk,

”Mengeratkan Perhubungan Dengan Pemadanan.”

”Membuka Tabir Kegelapan Minda Dengan Soalan Coaching – Paten-paten Model-Meta”.

 

Selamat Mencuba dan Selamat Maju Jaya.

 

 

M Nasser Ismail, ACMC

Personal & Executive Coach

Neuro-Semantics & NLP Trainer

Rujukan: Dr Roger Ellerton


 


 
 
  Today, there have been 99 visitors (121 hits) on this page! Copyright 2007-Transcend-Actualise-Meta-Coach  
 
Bringing you up to your highest level of performance at your highest potentials.
This website was created for free with Own-Free-Website.com. Would you also like to have your own website?
Sign up for free